ABDUL JALIL HASSAN

Presiden Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam, Dr. Abdul Jalil Hassan berkata, pada peringkat awal gangguan tersebut bermula dengan sikap suka menyembunyikan perasaan dan terlampau memikirkan sesuatu perkara serta kemungkinan kesannya di masa hadapan.

Ini kerana, katanya, penyakit mental merupakan masalah yang dihadapi untuk jangka panjang atau tekanan dialami sepanjang kehidupan.

“Apabila terlalu memikirkan sesuatu perkara, mereka akan menjadi tertekan dan kemudian terlalu bimbang tentang keadaannya di masa hadapan. Ekoran itu, individu berkenaan mula mengalami gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

“Sekiranya tidak dirawat, keadaan itu menjadi lebih kronik berikutan individu terbabit mula ‘mencipta’ skrip di dalam minda mereka yang kemudiannya membawa kepada skizofrenia iaitu berhalusinasi sama ada dalam bentuk delusi atau ilusi,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Menurut Abdul Jalil, delusi dan ilusi merupakan peringkat kritikal yang dihadapi pesakit mental berikutan mereka terdorong untuk melakukan keganasan terhadap diri sendiri ataupun individu lain.

Jelas beliau, keganasan itu terjadi akibat bisikan atau ‘bayangan’ seolah-olah terdapat arahan untuk melakukannya dan penagih dadah kronik sering berhadapan situasi tersebut kerana pengambilan dadah yang berlebihan merosakkan fungsi neurotransmiter atau gangguan kepada penghantaran isyarat ke otak.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa gangguan mental boleh berpunca daripada sesuatu peristiwa besar dan hitam yang dialami seseorang sehingga meninggalkan kesan mendalam seperti kematian ahli keluarga terdekat.

Beliau turut memberitahu, sikap masyarakat masa kini yang tidak mengambil berat tentang keadaan persekitaran menyebabkan bilangan pesakit mental bertambah.

“Ibu bapa juga perlu memantau melihat perubahan anak-anak mereka dan sekiranya sikap negatif seperti marah berpanjangan, anak-anak tersebut perlu diberi rawatan awal.

“Masyarakat juga perlu sedar bahawa rawatan psikiatri tidak semestinya bermaksud seseorang itu gila sebaliknya gangguan mental adalah seperti sakit fizikal yang lain,” jelasnya, stigma itu menyebabkan ramai penghidap terpinggir dan enggan mendapatkan rawatan.