Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan, jika barisan hakim membuat keputusan betul dan secara konsisten, ia secara langsung dapat mengembalikan keyakinan awam terhadap mereka.

“Di bawah kepimpinan Yang Amat Arif, usaha ke arah itu akan bermula menerusi contoh terbaik yang ditonjolkan.

“Maka era kegemilangan badan kehakiman pada tahun 1970 dan 1980 akan kembali semula,” katanya ketika berucap dalam Majlis Meraikan Pelantikan Ketua Hakim Negara Ke-16, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Tommy di samping itu juga menyoroti kembali era 30 tahun pasca merdeka apabila institusi kehakiman mendapat reputasi tinggi menerusi jasa hakim-hakim terdahulu.

Beliau memberi contoh antaranya dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Sultan Azlan Shah dan Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim serta bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Dr. Eusoffe Abdoolcader.

“Jasa mereka bukan sahaja dinilai oleh peguam dan ahli akademik negara ini, tetapi juga di luar negara.

“Mengapa badan kehakiman kita dipandang tinggi ketika itu, ia kerana mereka membuat keputusan yang tepat dengan berdasarkan bukti dan lunas undang-undang,” katanya.

Pada masa sama, Tommy berkata, pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara merupakan satu pengiktirafan golongan wanita yang turut mendominasi badan perundangan negara ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor menyifatkan pelantikan Tengku Maimun itu adalah satu era baharu dan peristiwa bersejarah negara kerana wanita terpilih menduduki jawatan utama badan kehakiman.

Ujarnya, usaha itu sekali gus dapat mengalakkan peningkatan wanita yang dipilih berdasarkan merit dan keupayaan masing-masing.

“Majlis Peguam yakin dengan kepimpinan Yang Amat Arif untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk memastikan badan ini bebas daripada pengaruh luar,” katanya. - UTUSAN ONLINE