Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Malaysia merupakan antara beberapa negara yang memenuhi sepenuhnya penetapan baharu tersebut antaranya imbasan sepuluh jari dan pemakaian gelang e-hajj yang mengandungi maklumat jemaah haji.

“Syarat baharu itu berkaitan dengan pemantauan jemaah haji yang lebih efisien khususnya dalam aspek keselamatan,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengadakan lawatan ke Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji di sini, hari ini.

Menurut Jamil Khir, se­mua je­maah haji Malaysia seramai 22,320 orang telah berada di Mekah.

“Menjelang hari wukuf di Arafah tiga hari lagi, saya yakin Tabung Haji sudah bersedia sepenuhnya bagi melaksanakan operasi masyair tersebut,” katanya.

Selain wukuf di Arafah pada Ahad ini, operasi masyair melibatkan bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Beliau menasihatkan, jemaah haji supaya terus mengekalkan nama Malaysia sebagai negara yang mempunyai kelompok jemaah haji paling berdisiplin.

“Kita perlu menjadi jemaah haji paling dikagumi secara berterusan oleh negara-negara lain bukan sahaja dari segi mematuhi peraturan yang ditetapkan tetapi juga menggunakan sepenuhnya masa ketika wukuf di Arafah untuk beribadah kepada Allah SWT,” katanya.

Jamil Khir berkata, dalam usaha menjaga kebajikan dan keselesaan jemaah haji, Tabung Haji telah melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuklah mengadakan program safari wukuf.

“Melalui program itu jemaah yang sakit akan dibawa ke Arafah untuk berwukuf seketika dengan menaiki dua buah yang diubahsuaikan, tujuh buah ambulans dan tiga bas biasa, “ katanya.

Sementara itu, beliau menyeru para petugas Tabung Haji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah-jemaah haji dan sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan apa juga bentuk cabaran dan situasi.

“Dalam masa yang sama, mereka juga perlu menjaga kesihatan serta ibadah masing-masing. Saya yakin komitmen dan dedikasi para petugas membolehkan Operasi Masyair (berwukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina) akan berjalan lancar,” katanya.