Juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu memilih tarikh 14 Mei nanti untuk disatukan dengan tunangnya, Nureffy Jasreel Abdullah.

“Saya tidak pentingkan majlis yang ‘gah’, hanya inginkan kesederhanaan. Apa yang penting bagi kami ialah ijab dan kabul itu sendiri, selain bagaimana untuk meneruskan kehidupan kami selepas bergelar suami isteri,” kata Hafiz kepada Mingguan Malaysia.

Mengelakkan pembaziran, penyanyi yang popular dengan lagu Ombak Rindu dan Matahari ini menganggap majlis perkahwinan bukanlah satu medan untuk bermegah-megah, sebaliknya ia wajar dijalankan mengikut kemampuan, dengan doa dan restu tidak berbelah bahagi keluarga.

“Walaupun selebriti, tak perlu terlalu ikut trend, tak perlu hendak gah sangat, janji apa yang wajib kita sempurnakan. Insya-Allah,” katanya yang bakal mengikut jejak langkah kawan baiknya, pasangan artis Akim dan Stacy yang turut melangsungkan pernikahan dalam suasana serba sederhana.

Majlis ijab dan kabul Hafiz dan Nureffy akan diadakan di kampung halaman mereka di Kuching, Sarawak.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip mengaku kini sedang dalam fasa mempersiapkan diri sebelum bergelar suami selain persiapan perkahwinan kini hanya berbaki 70 peratus sahaja lagi.

“Perasaan gementar dalam teruja itu memang tak boleh nak disorokkan lagi. Setakat ini persiapan kahwin pun dah hampir 70 peratus selesai. Hanya tinggal nak cetak kad kahwin dan beberapa lagi perkara lain seperti senarai nama tetamu jemputan. Majlis akad nikah akan berlangsung pada sebelah siang dan manakala majlis resepsi akan diadakan di sebelah malamnya pula.

“Majlis di sebelah pihak lelaki pula ialah pada keesokan harinya. Kami berasal dari negeri yang sama, jadi rasanya tidak perlu menunggu lama untuk adakan majlis bertandang. Lagipun ia memudahkan keluarga kedua-dua pihak untuk sama hadir majlis itu nanti,” ujar pelantun lagu Awan Nano ini lagi.

Hafiz dan Effy yang mengikat tali pertunangan pada 27 Februari tahun lalu memilih tema perkahwinan dalam taman sebagai menyerikan lagi hari bersejarah mereka.