Baginda yang ditemani Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khee Chee di sini bagi menghadiri majlis tersebut.

Baginda berdua turut me­renjis air mawar kepada pasa­ngan pengantin Mohd. Zharfan Mohd Musa, 27, dan Nur Sabrina Mohd. Aseraf, 21, sebelum menjamu selera.

Baginda sempat melapangkan masa untuk beramah-mesra dan bergambar bersama tetamu yang menghadiri majlis ber­kenaan.

Baginda mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk ahli keluarganya serta meminta agar penduduk di negeri ini menjaga kesihatan, keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat.

Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang meninggalkan maj­lis kira-kira pukul 1.50 petang.

Sementara itu, Mohd. Musa berkata, keluarganya amat bertuah kerana baginda sudi mencemar duli memeriahkan majlis perkahwinan anak ketiga­nya daripada enam beradik.

“Ini detik yang sangat manis bagi keluarga kami. Saya menjunjung kasih mengucapkan jutaan terima kasih kepada ba­ginda berdua kerana sudi mencemar duli walapun ada majlis rasmi di Istana Abu Bakar kira-kira dua jam lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.