Dia yang menghadapi penyakit kanser itu sejak akhir tahun lepas berkata, tahun ini cukup mencabar baginya kerana ini merupakan kali pertama dia tidak dapat berpuasa dengan sempurna kerana masalah yang dihadapinya selain tidak bersama-sama keluarganya menunaikan solat terawih apabila dia di masukkan ke hospital pada minggu kedua Ramadhan bagi mendapatkan rawatan radioterapi.

“Saya sedih namun saya perlu kuat demi keluarga, sokongan moral mereka dan kawan-kawan tidak mematahkan semangat saya.

“Saya harap saya cepat sembuh dan keluar daripada hospital selain berdoa agar saya sempat beraya dengan keluarga saya tahun ini," katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima sumbangan senaskhah al-Quran dan makanan amalan sunah oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Rumah Mengaji Ar-Rasyid dan Busyira dengan kerjasama Projek Cancer Care ketika lawatan program Hospital Kuala Lumpur (HKL) #QuranHour bagi menyokong Malaysian #QuranHour yang diadakan pada 19 Jun ini.

Menurut Noraini, dia turut meluahkan rasa syukur kerana lawatan berkenaan turut memberikannya kekuatan dan sokongan emosi kepada dirinya untuk menghadapi saat-saat getir ini.

“Ziarah berkenaan memberikan sedikit sebanyak kepada saya kekuatan emosi ketika menghadapi dugaan sebesar ini terutama dalam bulan mulia ini. Mereka mengajar saya membaca al-Quran dan beramai-ramai mendoakan supaya saya kembali sembuh semula,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pesakit kanser, Rohana Abu Bakar, 52, berkata, dia tidak mampu berdiri terlalu lama ketika berpuasa kerana terlalu letih dan sentiasa mengharapkan bantuan saudaranya untuk menyiapkan juadah berbuka.

“Saya sedikit kecewa kerana tidak dapat menyiapkan juadah berbuka puasa untuk suami, jika berpuasa saya akan berbuka lebih awal selalunya dalam tengah hari kerana tidak larat dan pening,” ujarnya yang menghadapi penyakit kanser pangkal rahim tahap tiga.

Sementara itu, Presiden Projek Cancer Care, Mohd Amin Ali Sidik berkata, program ini merupakan pertama kali diadakan di hospital sempena program #QuranHour kali ini dan berharap dapat mengunjungi ke wad-wad lain untuk program yang sama.

Jelas beliau, program tersebut secara tidak langsung mengajak pesakit kanser yang beragama islam bertawakal kepada Allah S.W.T ketika menghadapi saat sukar akibar kanser.

“Kita tahu ketika ini mereka sedang menghadapi saat sukar namun itu tidak menghalang mereka untuk bergembira serta menikmati semua kebaikan dan bertawakal kepada Allah S.W.T,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE