Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Kerajaan Pas Kelantan meneliti kan­dungan rumusan atau resolusi yang dicapai dalam satu persidangan meja bulat berkaitan isu perkahwinan bawah umur, di sini baru-baru ini.

“Dalam persidangan meja bulat anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) itu, semua panel bersetuju supaya had umur minimum sedia ada dikekalkan iaitu lelaki 18 tahun, perempuan 16 tahun.

“Perbincangan itu disertai panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran. Selepas perkara tersebut dibentangkan kepada Exco kerajaan negeri, kita melihat daripada pelbagai aspek serta keperluan semasa, dan akhirnya menerima rumusan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, Persida­ngan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur: Penilaian dan Pendekatan Holistik anjuran JHEAIK bersama Pertubuhan Lepasan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Kelantan berjaya merumuskan tujuh resolusi.

Antaranya, perkahwinan ba­wah umur adalah wajar dan selaras dengan hukum syarak malah menjadi satu keperluan di Kelantan dan tiada keperluan untuk meminda had umur minimum sedia ada.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, susulan keputusan tersebut, prosedur berkaitan perkahwinan bawah umur sedia ada di negeri ini dikekalkan termasuk bakal pengantin wajib mendapat kebenaran bertulis mahkamah.

Tambah beliau, tujuan utama berkahwin di bawah umur dibenarkan adalah untuk mengelak perbuatan sumbang atau zina dalam kalangan golongan belia.