Titah Sultan Sharafuddin, baginda memandang serius kes-kes seperti perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda kerana bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.

“Oleh itu, beta menitahkan supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyemak semula undang-undang sedia ada dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.

“MAIS dan JAIS telah menyembah maklum kepada beta cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada. Beta berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa merasmikan istiadat pembukaan penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di sini, hari ini.

Yang hadir sama mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin juga bertitah beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambahbaik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur di Mahkamah Syariah.

Titah baginda, antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan.

“Untuk tujuan itu, beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan.

“Beta berharap agar kedua-dua cadangan pindaan undang-undang tersebut dapat dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini,” titah baginda.

Dalam perkembangan berasingan, Sultan Sharafuddin turut berkenan dengan kejayaan kerajaan negeri dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memperolehi persetujuan mengambil alih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash).

Baginda bertitah, pengambilalihan yang tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan daripada dana kerajaan negeri ini telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

“Beta berkenan apabila Air Selangor dapat beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah di mana ia sekaligus dapat memastikan kadar tarif air yang tidak membebankan rakyat di negeri beta ini.

“Penstrukturan semula industri bekalan air di negeri Selangor akan akhirnya dimuktamadkan apabila Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal yang memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” titahnya.