Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, perubahan daripada had umur asal iaitu 15 hingga 40 tahun tersebut bertujuan memberi peluang kepada generasi yang berumur di bawah 30 tahun menerajui pimpinan dan mencorak masa depan sejajar perkembangan transformasi negara.

“DBM akan menggantikan Dasar Pembangunan Belia Negara yang digubal pada 1997 dengan beberapa kerangka pembaharuan termasuk aspek kumpulan fokus, pemantauan terhadap program-program belia serta takrifan baharu umur yang dijangka dilaksanakan bermula 2018 selepas dibentang dan dipersetujui dalam Kabinet.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, kita akan melalui proses persediaan pelaksanaan menerusi program-program pemantapan di peringkat akar umbi supaya mereka yang berumur lingkungan 20-an bersedia mengambil alih tampuk kepe­mimpinan,” katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan majlis Perundingan Belia Negara Sidang IV Penggal Ke-29, di sini hari ini.

Jelas Khairy, langkah itu dilihat perlu bagi mempercepatkan pro­ses ‘keremajaan’ pimpinan negara dengan memberi ruang lebih besar kepada pemimpin pelapis untuk menerajui pertubuhan belia selain mengikut norma antarabangsa di kebanyakan negara yang mentakrifkan belia sebagai mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.

“Sudah tiba masa kita beri kepercayaan kepada golongan ini untuk ke depan. Dalam jangka masa ini, pada 2018 nanti akan ada perubahan melibatkan semua organisasi yang berdaftar di bawah Pendaftar Belia,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, cadangan pembinaan Bandar Belia 1Malaysia dengan peruntukan RM100 juta pada tahun hadapan sedang diperhalusi pelaksanaannya khusus untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada anak muda termasuk pusat beli-belah, sukan, kerohanian dan perumahan mampu milik.

“Teorinya bandar belia ini adalah untuk golongan belia maka mereka yang sudah melebihi umur ditetapkan perlu memberi ruang kepada generasi muda yang lain. Mungkin model pelaksanaan rumah transit boleh diguna pakai untuk mengurangkan beban isu pemilikan rumah dalam kalangan belia,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas pra-persidangan Parlimen Belia Malaysia (PBM) yang akan dilaksanakan 30 November hingga 4 Disember ini, Khairy berkata, persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran program itu sebelum bersidang di Parlimen pada 10 dan 11 Januari tahun hadapan.

“Persidangan PBM akan dilaksanakan tiga kali setahun, justeru semua ahli diharap dapat memanfaatkan ruang dan peluang yang ada dengan sepenuhnya untuk sama-sama meningkatkan pembangunan belia di Malaysia memandangkan ia adalah platform sesuai bagi menyuarakan idea serta pandangan,” katanya.