Dalam sesi ceramah selama kira-kira satu jam itu, pendakwah kelahiran Indonesia itu berkata, rezeki seseorang manusia telah ditetapkan ketika berada di rahim ibu lagi.

“Malaikat ketika menjaga proses ciptaan manusia sehingga sampai usia 120 hari telah diperintahkan oleh Allah dengan empat perkara perting.

“Perkara berkenaan adalah rezeki, ajal,amal dan nasib, semua ditetapkan oleh Allah, bagi seorang yang beriman akan melihat kesemua empat perkara adalah dekat dengan kehidupan seharian kita, kesemua ini menuntut kepada keimanan kepada Allah,”katanya dalam Majlis Tamankan Hati Keluarga Utusan di sini hari ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Surau Al-Huda Utusan, Mohd. Radzi Mohd. Zin dan diteruskan dengan sesi perkongsian tersebut.

Majlis Tamankan Hati Keluarga Utusan merupakan wadah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara warga kerja Utusan Melayu selain memberi motivasi. Majlis itu turut dihadiri oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Mengulas lanjut, Habib Ali berkata, rezeki telah ditentukan oleh Allah, tetapi rezeki tidak terhad kepada aspek kebendaan semata-mata malah lebih luas daripada segala-galanya.

“Jangan memahami rezeki daripada aspek kebendaan sahaja, malah sihat juga rezeki, kehidupan aman juga adalah rezeki selain perkara-perkara positif dalam kehidupan kita juga adalah rezeki Allah kepada kita, dengan demikian kita mempunyai wawasan yang luas untuk memahami rezeki daripada Allah,”katanya. - UTUSAN ONLINE