Ahmad Shabery Cheek

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penjelasan perlu diberi memandangkan ada sekatan sementara dari China yang tidak membenarkan eksport sarang burung walet dari negara ini ke negara itu.

“Penjelasan perlu diberi kepada China bahawa isu selesema burung yang melanda Kelantan adalah sesuatu yang dapat dibendung kerana kawasan terlibat telah dizonkan dan tidak akan merebak ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri karnival Hala Tuju Pendidikan Pelajar Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/Setaraf sempena sambutan hari terbuka Kolej Universiti Tati di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, dalam industri sarang burung walit di Malaysia, satu sistem pendaftaran dilaksanakan bagi mengetahui tempat asal sarang burung itu diambil.

“Melaluinya, kita dapat mengenal pasti dari manakah sarang burung walet itu berasal, rumah burung yang mana, kampung mana dan negeri mana. Jika didapati ada perkara yang tidak dibolehkan, tindakan akan terus dibuat di kawasan terlibat sahaja tanpa melibatkan kawasan perusahaan sarang burung walet di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, nilai eksport sarang burung walet ke China ialah sebanyak RM135 juta setahun dan wabak selesema burung yang diisytiharkan bencana negeri Kelantan itu adalah satu isu yang serius.–
 BERNAMA