Setakat ini, sebanyak 30,927 ekor unggas dan 11,804 telur telah dilupuskan di 28 lokasi yang dikenal pasti di enam jajahan berkenaan.

Sebanyak 14 daripada lokasi tersebut adalah di jajahan ini, diikuti Pasir Mas (enam), Tumpat (tiga), Pasir Puteh (tiga) manakala Tanah Merah dan Bachok masing-masing satu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr. Suratan Kamarudin berkata, pihaknya membekukan cuti kesemua 184 kakitangan jabatan yang kini sibuk menjalankan pemantauan dan pelupusan di lokasi yang dikesan penyakit.

"Mereka dibantu petugas agensi lain digerakkan untuk menangkap dan melupuskan kesemua unggas dalam satu kilometer radius dari lokasi penyakit dikesan. Setakat ini tiada ladang ayam komersial dalam 10 kilometer radius kawasan penyakit.

"Kami turut menguatkuasakan langkah tambahan iaitu melaksanakan pembasmian kuman di premis dijangkiti serta membuat kawalan pergerakan dan kuarantin zon penyakit selama 42 hari," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dr. Suratan memberitahu, wabak tersebut kini dikawal sepenuhnya dalam radius 30 kilometer dari lokasi asal iaitu Kampung Tebu, di sini.

"Sekatan jalan raya dibuat bagi menghalang orang ramai membawa unggas keluar dari Kelantan. Sekatan ini dibuat di lokasi strategik," katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pengambilan makanan berasaskan ayam kerana haiwan itu selamat dimakan jika dimasak dengan sempurna.

"Sebenarnya, virus H5N1 ini musnah pada suhu 70 darjah Celcius. Kita masak ayam dengan sempurna pada suhu yang lebih tinggi daripada suhu tersebut, iaitu sehingga mencecah 100 darjah Celcius," katanya. - UTUSAN ONLINE