Antara faktor yang dikenal pasti, menurut pakar penanaman tempatan, ialah kerana biji benih yang diperoleh adalah diimport dari negara luar seperti Thailand, China dan juga Taiwan, menyebabkan berlakunya peningkatan kos, sebelum sampai ke golongan pembeli.

Bertitik tolak dari itu, sebuah syarikat tempatan berstatus BioNexus, Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) mengambil inisiatif melakukan sendiri penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan tanaman bermutu tinggi melalui benih yang dihasilkan dalam negara.

Pengurus Pemasarannya K S Wai berkata, GWG, yang ditubuhkan sekitar 2007, telah melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak dan pakar-pakar penanaman dalam dan luar negara dalam usaha menghasilkan biji benih hibrid bagi memenuhi permintaan tempatan.

"GWG merupakan satu-satunya syarikat yang melakukan penyelidikan dan pembangunan biji benih dalam negara ini. Dan jenis-jenis tanaman yang menjadi keutamaan kami lebih kepada jenis yang mempunyai nilai tinggi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 hari ini. -- LAGI

MAHA 2016 bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang berlangsung sejak 1 Dis di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan akan berakhir esok.

Wai berkata penghasilan biji benih secara tempatan, bukan sahaja dapat mengurangkan kos yang perlu ditanggung, malah proses penghasilan juga dilakukan bergantung kepada jenis tanah, cuaca dan persekitaran di Malaysia, menjadian ianya lebih berkualiti.

"Kami memahami permintaan pasaran seperti jenis tanaman yang mereka kehendaki dan sebagainya. Jadi kami akan memenuhi permintaan dan kami akan cipta pasaran itu.

Sebagai contoh, salah satu produk yang kami hasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan iaitu tembikai susu madu (rock melon) jenis '125', beratnya mampu mencecah 2.5 kilogram sebiji, malah tahap kemanisannya lebih 14 hingga 16 peratus lebih tinggi berbanding yang biasa di pasaran," katanya.

Satu lagi contoh menurut Wai, ialah jagung GWG 111, yang dihasilkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi)yang hanya memerlukan sekitar 100 hari untuk dituai dan mempunyai kadar tumbesaran yang memberangsangkan.

GWG turut menghasilkan biji benih hibrid berkualiti tinggi untuk tanaman seperti tembikai, labu, tomato, timun dan terung.

Wai berkata, untuk strategi pemasaran, GWG, yang kini mempunyai tujuh stesen penyelidikan di seluruh negara, menubuhkan anak syarikat G Fresh Sdn Bhd khusus bagi tujuan pemasaran tanaman-tanaman yang dihasilkan melalui biji benih hibrid itu.

GWG juga akan cuba memastikan tanaman dari biji benihnya dijual di pasar raya besar yang sanggup membeli dengan harga atas pasaran, supaya dapat menghasilkan permintaan dan pasaran yang lebih luas, katanya.

Menurutnya, untuk penghasilan setiap jenis biji benih hibrid, ia biasanya memerlukan tempoh lima hingga tujuh tahun sebelum dapat dipastikan ianya benar-benar bersesuaian dengan persekitaran di Malaysia.

Atas sebab itu, kata Wai, GWG banyak menerima bantuan dan kerjasama dari kerajaan pusat dan agensi berkaitan, terutamanya dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.- BERNAMA