Pengetuanya, Datin Kamariah Mohamad berkata, soalan dan nota yang terdapat dalam ruangan tersebut dilihat dapat membantu melengkapkan persediaan pelajarnya menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita berjaya meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS) daripada 4.78 pada 2013 kepada 4.48 pada tahun lalu walaupun di peringkat nasional mencatatkan penurunan, malah bilangan pelajar yang mendapat 6A ke atas adalah sebanyak 67 orang.

“Oleh itu, dengan langganan tutor sepanjang tahun ini, kita yakin ia dapat membantu meningkatkan GPS sekolah kerana kandungan yang terdapat di dalamnya menepati sesi pembelajaran dan pengajaran sekolah,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis Pelancaran dan Penyerahan Langganan Tahunan Tutor UPSR oleh Eksekutif Jualan Bangi dan Putrajaya Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Firdaus Ahmad Sabli di sini hari ini.

Sempena majlis tersebut, pihak sekolah melanggan sebanyak 5,000 naskhah untuk tempoh setahun.

Kamariah berkata, penelitian yang dilakukan bersama guru-guru sekolahnya juga mendapati, Tutor mengandungi soalan jenis kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan lima, S. K. Aninashini berkata, ilustrasi dan warna yang digunakan dalam penyampaian maklumat menarik minat pelajar untuk membaca selain mudah difahami.

“Saya menggunakannya sejak tingkatan tiga lagi dan akan terus menjadikannya sebagai rujukan utama kerana soalan dan jawapan yang disediakan dalam slot klon peperiksaan menyerupai soalan sebenar,” ujarnya.

Bagi rakannya, Muhd. Nur Ikhwan Taib, Tutor mengandungi soalan KBAT yang membantu mengasah kemahiran berfikir sebagai persediaan untuk menghadapi SPM nanti.

Tambahnya, soalan dan rujukan Tutor bukan sahaja menjadi sumber rujukan di sekolah tetapi sebagai bahan pembacaan utama untuk mengulang kaji pelajaran di rumah kerana turut mengandungi soalan latih tubi.