Guru yang dipercayai bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth dan dikenali sebagai Cikgu Kamarulzali itu dipercayai sedang bersiap untuk ke sekolahnya sebelum menyedari kejadian yang berlaku di hadapan rumahnya itu.

Walau bagaimanapun, seorang lelaki, Muhamad Yahood, 48, meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira pukul 7 pagi itu, manakala tiga anaknya yang berusia setahun hingga 11 tahun berjaya diselamatkan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menghantar dua anaknya ke sekolah berdekatan sambil ditemani seorang lagi anak yang berusia setahun.

Sementara itu, tindakan guru terbabit yang tular dalam media sosial mendapat pujian netizen selepas gambarnya yang berpakaian uniform Kadet Remaja Sekolah (KRS) dalam keadaan basah kuyup dikongsi pengguna.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Razali Mohd. Tahir berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa dan tiga penumpang telah diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Parit Yaani, namun mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Razali, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE