Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, penggunaan VLE di sekolah dapat dijadikan amalan dan pembudayaan secara berterusan untuk menyediakan modal insan pada masa hadapan.

Katanya, menerusi pembelajaran abad ke-21, murid dan pelajar berupaya menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mengakses maklumat sekali gus menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia.

“Seiring dengan perkembangan ICT serta era digital, transformasi dalam bidang pendidikan dijangka akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Untuk itu saya menyeru semua golongan pendidik supaya bersiap sedia menghadapi lonjakan transformasi ini, sebagai contoh kita sendiri tidak membayangkan suatu masa kelak teknik rawatan menerusi alam maya mampu mengubat penyakit seperti kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembudayaan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Melaka di Dewan Tun Ali Bukit Katil di sini sebentar tadi.

Program bertemakan Lonjakan Saujana Pembelajaran Abad Ke-21 Negeri Melaka itu menghimpunkan sebanyak 700 pengetua dan guru besar serta guru pentadbiran VLE sekolah-sekolah di negeri ini bagi mendapat maklumat dan intipati penggunaan sistem pembelajaran secara maya.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan negeri, Nor Hashim Hasan. - UTUSAN ONLINE