Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr.Noorfajri Ismail berkata, pemahaman itu amat penting bagi membolehkan setiap guru menangani masalah disiplin murid-murid terutama di semua sekolah rendah dengan mengikut tatacara yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan.

"Terdapat lebih 7,000 sekolah rendah yang mempunyai pentadbirnya sendiri yakni pengetua dan mereka ini perlu faham garis panduan yang jelas untuk menjalankan hukuman terhadap murid-murid yang bermasalah.

"Dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan sama sekali tidak membenarkan mana-mana guru menampar murid-muridnya. Jadi setiap guru perlu memahami 11 SPI yang dikeluarkan bagi memastikan mereka menjalankan hukuman mengikut tatacara yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program bual bicara persada 'Cikgu Azizan: Antara mendidik dengan mendisiplin, di mana sempadannnya?' yang berlangsung di Dewan Canselori, UKM, hari ini.

Yang turut hadir menjadi panel ialah Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohamad Arshad, Timbalan Dekan, Fakulti Pendidikan UKM, Prof. Madya Dr. Salleh Amat dan Jurulatih Utama Kebangsaan Kumpulan Penggerak Sarjana Kebangsaan, Faizal Mohamad Arshad. - UTUSAN ONLINE