Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tema itu juga akan digunakan selari dengan Gerakan Massa 'Terima Kasih Cikgu' Peringkat Kebangsaan selama 50 hari bermula pada hari ini dengan kerjasama Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Kebangsaan (KPIBKK).

Katanya, kerjasama itu bukan sahaja meliputi sekolah dan ibu bapa tetapi juga komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), alumni dan pihak swasta.

"Usaha murni sebegini sudah tentu memberi impak kepada guru. Tema ini juga membawa erti besar, guru berada di barisan hadapan dalam pelan transformasi pendidikan negara.

"Transformasi ini akan mengekalkan dasar yang sedia ada tetapi membuat penambahbaikan dari segi sistem dan aktiviti-aktiviti bersesuaian dengan masa dan keadaan pada waktu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Guru 2018, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE