Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, golongan guru sebaliknya perlu menjadi pencetus kepada anak-anak murid bagaimana untuk menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

"Kita tidak mahu guru mengajar anak-anak muda supaya membenci dasar kerajaan seperti yang dilakukan oleh seorang ketua menteri yang mengajar kanak-kanak untuk membenci GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).

"Guru adalah kumpulan profesional yang faham tentang tugas mereka dan tidak bertindak mengikut emosi dan saya yakin mereka ini memiliki mentaliti yang tinggi untuk membantu usaha kerajaan asalkan kemajuan dapat diteruskan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian ketika ditemui selepas berucap pada Program Pemukiman Guru Muda dan Guru Aktif peringkat negeri di Kem Permata Resort Ayer Paabas, di sini sebentar tadi.

Program yang menghimpunkan kira-kira 400 guru dari seluruh negeri itu anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO negeri dan Jabatan Pendidikan negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jasa, Aswan Md. Adini; Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Datuk Zali Mat Yassin. - UTUSAN ONLINE