K.A RAZHIYAH
K.A RAZHIYAH

Guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Panji, Kota Bharu itu berkata, apabila melangkah ke alam perguruan, bukan kemasyhuran yang mahu dikejarnya.

“Jika diberi peluang saya mahu terus curahkan ilmu dan pengalaman yang saya miliki. Bagi saya, bidang perguruan bukan satu karier tapi satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan,” kata Razhiyah yang akan bersara wajib dalam masa dua tahun. 

Beliau yang dihubungi Utusan Online menambah, pada masa ini masanya banyak dihabiskan bersama murid dalam kalangan anak-anak istimewa.

“Saya mahu terus mencurahkan pengalaman yang dimilikinya kepada anak-anak istimewa ini, dan melatih pelapis baharu yang bakal membawa obor sebagai pendidik.

“Tanggungjawab sebagai seorang guru bukanlah setakat mengajar, tetapi juga membentuk pelajarnya supaya menjadi seorang anggota masyarakat yang berguna,” ujar guru berusia 58 tahun itu.

Memulakan karier perguruannya pada tahun 1985, Razhiyah berkata, pada 1990, dia mengikuti kursus pendidikan bagi murid yang mengalami masalah pendengaran, dan dari situ, minat untuk mendidik murid yang mempunyai keterbatasan fizikal mula berkembang.

“Saya tidak pernah rasa menyesal memilih laluan ini, kerana bagi saya, murid-murid sebegini punya banyak potensi yang terpendam.

“Tugas saya sebagai guru adalah menggilap mereka supaya turut menjadi penyumbang kepada masyarakat,” kata Razhiyah.

Mula bertugas di SMK Panji sejak tahun 2006 sebagai guru Pendidikan Khas, beliau memperkenalkan program kecantikan diri yang membawa kepada penubuhan Teratak Spa.

“Teratak Spa merupakan satu projek di mana para pelajarnya diberi kemahiran untuk mengendalikan rawatan kecantikan, seperti rawatan muka dan urutan tangan,” tambah Razhiyah.

Untuk rekod, SMK Panji mempunyai seramai 82 orang murid, berumur di antara 13 hingga 19 tahun, di bawah program Pendidikan Khas, dengan 15 daripadanya berada dalam projek ini.

Program Teratak Spa bukan sahaja membekalkan para pelajarnya dengan kemahiran, tetapi secara tidak langsung membina keyakinan diri mereka.

“Dalam Teratak Spa, mereka perlu berinteraksi orang ramai. Kita ada buat sesi rawatan kepada umum, dan interaksi sebegini sebenarnya salah satu daripada modul pendidikan yang kami adakan.

“Kesemua aktiviti yang kita lakukan, sebenarnya bertujuan untuk membina keyakinan diri. Dan alhamdulillah setakat ini kita berjaya capai apa yang kita inginkan,” kata Razhiyah.

Terbaharu, Teratak Spa singgah di Langkawi, dan rawatan spa yang diberikan kepada pelancong dalam dan luar negara nyata menerima sambugan hangat.

Anugerah Guru Global merupakan satu pengiktirafan kepada guru di seluruh dunia. Dianjurkan oleh Yayasan Varkey, pemenangnya bakal memenangi wang tunai bernilai USD$ 1 juta (RM4.1 juta) - UTUSAN ONLINE