Guru tersebut, Noor Anita Salleh, 55, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 3 di sini menang tempat pertama kategori puisi menerusi sajak 'Cerana dan Gobok Nenek' manakala bagi kategori cerpen pula beliau mendapat tempat kedua melalui karya 'Dalam Hujan Lebat' serta saguhati bagi 'Mat Tua'.

Noor Anita berkata, dia aktif menghasilkan karya kreatif beberapa tahun lalu setelah lama meninggalkan hobi zaman persekolahannya itu.

"Saya mengajar subjek Bahasa Inggeris pelajar Tingkatan Lima jadi sudah tentu bebanan agak berat. Hobi menulis adalah cara untuk saya melepaskan tekanan selain kesibukan sebagai ibu kepada lima orang anak.

"Saya sukakan tema kekeluargaan dan sehingga kini lebih 10 cerpen yang saya hasilkan keluar dalam beberapa buah majalah," katanya di Majlis Pelancaran Antologi 'Merindui Rintik Hujan' dan penyampaian hadiah peraduan penulisan kreatif Gema 2017 di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abd. Rahman telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Yang turut hadir, Ketua 1 Gema, Zainal Abidin Mohamad; Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) negeri, Zubariah Abdullah dan Ketua Unit Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Muhamad Ikhram Fadhly Hussin.

Pertandingan anjuran Gema dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) itu menyaksikan Noor Anita melalui sajak 'Cerana dan Gobek Nenek' memenangi tempat pertama kategori puisi manakala tempat kedua disandang Nur Fathirah Halim ( Maruah Yang Tersirna) dan ketiga Muzakkir Kamarudzaman (Bunga Layu Di Tangkai Takdir).

Manakala bagi kategori cerpen pula dimenangi oleh Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik (Rahmat Sebuah Keikhlasan); tempat kedua Noor Anita (Dalam Hujan Lebat) dan Ain Madihah (Nur Ramadan).

Kesemua pemenang menerima hadiah dan sijil selain karya mereka diterbitkan dalam kumpulan cerpen dan puisi 'Merindui Rintik Hujan'. - UTUSAN ONLINE