Lok Yim Pheng menunjukkan surat pertukaran yang diterima oleh seorang guru, mengarahkannya untuk bertukar ke sekolah lain di Lumut, semalam.

Setiausaha Agung NUTP, Datuk Lok Yim Pheng berkata, arahan pertukaran guru yang disebabkan masalah peribadi hanya akan merugikan pelajar dan sekolah serta profesion perguruan.

Menurut beliau, dalam kes pertukaran seorang guru sebuah sekolah menengah di sini, guru terlibat merupakan satu-satunya guru Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan tetapi diarahkan bertukar serta-merta.

"Pertukaran itu didakwa atas alasan kepentingan perkhidmatan guru tersebut bermula Mac lalu namun guru itu tidak dapat menerima pertukaran itu yang dianggapnya dibuat tanpa alasan yang kukuh.

"Pertukaran ini akan merugikan sekolah dan pelajar memandangkan guru berkenaan adalah satu-satunya guru untuk Malaysian University English Test (MUET) di sekolah itu dan sehingga kini tiada guru yang menggantikan tempat beliau," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Yim Pheng, atas faktor tersebut, guru terlibat masih terus bertugas di sekolah lama sementara menunggu keputusan rayuan daripada Jabatan Pendidikan negeri.