Mokhtar Saidin

Pengarah Pusat Pe­nyelidikan Arkeo­logi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin berkata, ketika ini Jawatankuasa Promosi dan Pembangunan Geopark diketuai USM sedang giat menulis dossier iaitu dokumen mengenai latar belakang kawasan itu untuk di­serahkan kepada Jawatankuasa Induk Geopark Kebangsaan.

Dossier itu, katanya, dijangka dapat disiapkan pada September depan bagi membolehkan kawasan itu diangkat sebagai geopark kebangsaan terlebih dahulu pada hujung tahun ini sebelum diketengahkan di peringkat dunia sebagai geopark global.

“Di kawasan seluas 500 kilometer persegi itu, kami sudah mengenal pasti sehingga 25 lokasi berpotensi untuk dijadikan sebagai geotapak yang mempunyai keunikan dan khazanah tersendiri terutama dari aspek geologi, arkeologi dan biosfera.

“Antara kawasan dimaksudkan adalah di Gunung Jerai dan kawasan sekitar termasuk Titi Hayun dari aspek geologi, Sungai Batu untuk arkeologi dan hutan bakau Merbok untuk biosfera. Insya-Allah dalam tempoh tiga tahun lagi kami akan meneliti pula tapak mana di antara 25 itu yang sesuai dibawa ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi membolehkan kawasan ini diisytiharkan sebagai geopark global seperti Langkawi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.