AMIRUDIN ABDUL WAHAB
AMIRUDIN ABDUL WAHAB

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber­Security Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab sebaliknya berkata, pengguna laman sosial perlu berhemah mendapatkan maklumat menerusi saluran yang betul dan dipercayai.

Kata beliau, pelbagai program dilaksanakan oleh CyberSecurity dengan tujuan memberi keseda­ran kepada pengguna dalam isu penyalahgunaan terutama me­nge­nai memancing data atau phishing, perisian hasad, kecurian kata laluan atau identiti, buli siber atau kesalahan jenayah internet.

“Kita tidak mahu isu godam digembar-gemburkan memandangkan kes tersebut sentiasa berlaku, bukan hanya kerana berlangsung temasya Sukan SEA 2017 itu tetapi ada individu yang cuba jadikan per­kara ini sebagai isu.

“Saya rasa lebih baik kita tekankan ba­gaimana mahu didik masyarakat menggunakan internet secara berhemah dan tidak menggunakan secara ‘tidak sihat’ dengan menjadikan kemudahan berke­naan sebagai tempat untuk mela­ga-lagakan sehingga berlaku kekecohan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, penggodam tidak dikenali bertindak menggodam berpuluh-puluh laman web di negara ini sebagai tindakan bantahan terhadap kesilapan mencetak bendera merah putih Indonesia secara terbalik dalam buku khas cenderamata KL2017 di majlis perasmian Sukan SEA 2017.

Portal berita Indonesia, Suara.com melaporkan penggodam daripada kumpulan hacker rulez menggodam laman yang kebanyakannya milik persendirian dan blog perniagaan di negara ini antaranya kualalumpurmalaysia.com yang dimiliki penulis motivasi dan jutawan, Azizi Ali.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sehingga kini pihaknya masih meneruskan siasatan dan memantau perkembangan terkini dengan kerjasama beberapa agensi lain bagi mengatasi serangan tersebut.