Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perbincangan dengan pakar dalam bidang itu juga sedang dilakukan bagi mengoptimumkan rantaian perkhidmatan di fasiliti kementerian.

“Kita sebenarnya akui bahawa AI tidak dapat ganti atau menandingi kepakaran yang ada pada manusia, teknologi itu sebenarnya menjadi penghubung atau pemudah cara untuk sesuatu yang baharu.

“Kita akan terus menggunakan kepakaran manusia namun, pada masa yang sama kita tidak menafikan kepentingan AI,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian 2018 di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai AI ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Dzulkefly berkata, teknologi berkenaan akan digunakan dalam pelbagai program kesihatan antaranya memerangi denggi.

“Teknologi ini juga akan digunakan dalam program lain termasuk mengenal pasti tempoh masa menunggu, segala butiran tentang lapan visi AI akan saya berikan nanti secara teratur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, kementeriannya ketika ini juga sedang merancang untuk melaksanakan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara kelak.

“Malu kita kalau Vietnam dalam masa dua tahun akan datang mempunyai EMR, sistem berkenaan juga telah dilaksanakan di negara Asia Barat iaitu Turki.

“Saya pergi Turki, negara berkenaan bukan sahaja sudah laksanakan EMR tapi lebih daripada itu iaitu guna HIMS (Hospital Information Management Systems) atau sistem pengurusan maklumat Hospital,” katanya.

Dalam masa yang sama, Dzulkefly tidak menafikan Malaysia mempunyai kehebatan untuk melaksanakan EMR namun, memerlukan masa untuk mengorak langkah ke arah melaksanakan sistem berkenaan.

“Buat masa ini saya tidak mahu mendedahkan maklumat mengenai EMR sehingga kertas kerja lengkap mengenai pelaksanaan EMR bersedia sepenuhnya. Sesi pembentangan juga akan diadakan selepas ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE