Perdana Menteri, Datuk Seri Na­jib Tun Razak berkata, masalah kebanjiran pelarian Syria sudah me­libatkan negara-negara yang lain seperti Jerman dan OIC mahu isu ini diselesaikan di meja perundingan.

“Malaysia masih percaya baha­wa isu itu boleh diselesaikan di meja perundingan,’’ kata Perdana Menteri pada sidang akhbar bersama Canselor Jerman, Angela Merkel di sini hari ini.

Najib yang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari di Jerman mengadakan perbincangan tertutup selama sejam dengan Mer­kel hari ini.

Menurut beliau, isu pelari­an Sy­ria ada dibincangkan dalam pertemuannya dengan Merkel dan ke­dua-dua pihak sependapat bahawa isu pelarian ini adalah sesuatu yang mencabar dan semakin kompleks.

“Saya memuji sokongan dan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan Jerman kepada pelarian-pelarian ini,’’ kata beliau.

Sehingga April tahun ini lebih 600,000 pelarian Syria dilaporkan melarikan diri ke Jerman malah ada laporan yang menyatakan angka itu sudah mencecah satu juta orang.

Menjawab pertanyaan sama ada benar negara-negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk Jerman memberikan layanan yang berbe­za kepada pelarian beragama Islam, Merkel berkata, isu itu tidak timbul kerana layanan yang dibe­rikan adalah sama saja.

“Sama ada pelarian daripada Iraq atau Syria, kami tetap memberikan layanan yang sama,’’ katanya.

Mengenai kerjasama perdaga­ngan Malaysia-Jerman, kata Najib, kedua-dua negara mempunyai mat­lamat yang sama untuk meningkatkan kerjasama yang ada.

Sementara itu Najib, dalam uca­pannya pada majlis dialog dengan ketua-ketua syarikat perniagaan Jerman me­minta syarikat-syarikat baharu bersaiz sederhana merebut peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia.

Menurutnya Perdana Menteri, sya­rikat-syarikat yang berpotensi luas ini sepatutnya bergerak kehadapan mencari peluang-peluang pelaburan yang masih banyak di Malaysia.

Katanya, pa­da masa ini syarikat-syarikat gergasi di Jerman sudah berbuat demikian dan berjaya membuktikan kemampuan mereka di Malaysia dan langkah ini juga sepatutnya diikuti oleh syarikat-syarikat baharu bersaiz kecil yang banyak di Jerman.

Menurut Najib, ASEAN merupakan rantau pasaran yang paling pesat berkembang dan seharus­nya ahli-ahli perniagaan Jerman menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke rantau tersebut.

Yang turut hadir, Menteri Per­dagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perusahaan Per­ladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; wakil daripada Jawatankuasa Asia Pasifik bagi Perniagaan Jerman yang juga Pengerusi Lembaga Penyeliaan B. Braun Mel­­sungen AG; Prof. Datuk Seri Dr. Ludwig Georg Braun; Duta Besar Malaysia ke Jerman; Datuk Zulkifli Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Da­tuk Azman Mahmud. – UTUSAN