Beliau berkata, media sosi­al boleh menjadi satu bentuk revolusi budaya berbahaya yang mampu merosakkan ekosistem seandainya tidak dikawal secara proaktif.

Timbalan Perdana Menteri bimbang medium yang ditawarkan media sosial boleh menjadi platform untuk menyebarkan tindakan tidak bermoral, ruang untuk mempromosi kegiatan keganasan, propaganda, kebencian dan juga penyebaran pembohongan.

“Saya ada terbaca sebuah buku yang ditulis oleh seorang blogger di Amerika Syarikat, tajuk buku­nya ialah Trust me, I'm lying. Buku itu adalah mengenai seseorang yang sentiasa memberi maklumat yang salah di dalam media sosial.

“Tetapi di Malaysia, saya yakin sebahagian besar daripada kita masih mempunyai etika yang baik untuk menangani permasalahan (salah guna media sosial).

“Jangan kita ikut acuan orang lain untuk diadaptasi di negara kita sebaliknya gunakan ekosistem yang ada di negara ini iaitu kepelbagaian kaum dan budaya sebagai asas toleransi dan bukan tapak untuk berbeza pendapat dan mewujudkan konflik,” kata­nya.

Beliau berucap dalam majlis perasmian Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Naib Canselor UPM, Profesor Datin Dr. Aini Ideris.

Ahmad Zahid seterusnya berkata, media sosial ada kalanya memberi kesan kepada kepercayaan, prinsip, moral dan cara berfikir seseorang dan secara perlahan manusia akan hilang maruah yang selama ini dipertahankan.

“Terdapat kajian, sebanyak 95 peratus pengganas bermula daripada Facebook, ini berpunca daripada maklumat yang telah diputar belit oleh pemimpin-pemimpin pengganas mengenai jihad dan tauhid menerusi Facebook.

“Perkara seperti itu akan menyebabkan rakyat mula menentang kerajaan dan kita akan melihat peperangan bukan lagi antara tentera musuh dengan tentera tetapi melibatkan rakyat dengan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Timbalan Perdana Menteri, baik atau buruk setiap medium yang ada melalui media sosial itu, aplikasi teknologi tersebut akan terus kekal berikutan dunia yang semakin maju.