Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

“Kita sebenarnya dalam proses hendak meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan hukuman yang lebih ketat. Kita akan adakan pertemuan dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan perkara itu termasuk hukuman lebih berat bergantung kepada skala kejadian.

“Walaupun ada undang-undang tapi tidak meningkatkan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar, ia tidak memberi apa-apa makna. Inisiatif kementerian kini ialah memperkukuhkan jentera penguatkuasaan jabatan dalam melakukan penguatkuasaan secara berterusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat kejadian kes pencemaran pembuangan bahan kimia secara haram ke Sungai Kim Kim di sini sebentar tadi.

Menurut Seksyen 34B akta itu, mana-mana individu yang didakwa dengan kesalahan, boleh didenda maksium RM500,000 dan dipenjara tidak melebihi lima tahun. - UTUSAN ONLINE