Bagaimanapun Guan Eng mengingatkan Arul Kanda bahawa beliau merupakan satu-satunya kakitangan yang masih tinggal dalam syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu.

"Arul sudah membuat banyak janji, kalau dia nak saman, saya akan tunggu, tapi tidak tahulah kalau dia benar-benar ingin lakukannya, dia bebas melakukannya," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Arul Kanda dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mahu mendapatkan nasihat perundangan berikutan kenyataan akhbar dikeluarkan Guan Eng, semalam.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk Guan Eng mengeluarkan kenyataan awam yang dianggap memberi gambaran tidak tepat terhadapnya dan berkaitan apa yang berlaku.

Dalam satu sidang media semalam selepas mendengar taklimat 1MDB, Guan Eng menyifatkan Arul sebagai tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.

Dalam pada itu, Guan Eng mendedahkan terdapat agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menghadapi tekanan daripada pentadbiran kerajaan terdahulu untuk terlibat dalam urusan pembayaran hutang syarikat pelaburan 1MDB.

Katanya,tekanan tersebut datang dalam bentuk arahan bertulis daripada pentadbiran dahulu untuk memastikan kelancaran segala urusan berkaitan syarikat tersebut.

“Terdapat banyak tekanan namun mereka mendapat arahan bertulis, anda bukan bercakap tentang juta ringgit tetapi bilion ringgit.

"Malah ada pegawai kementerian yang tahu walaupun tanpa arahan bertulis pun mereka pasti akan dikenakan tindakan dan saya yakin mereka berhadapan dengan banyak tekanan,” katanya - UTUSAN ONLINE