Guan Eng juga merupakan pemimpin pertama dari DAP yang membentangkan belanjawan kerajaan Persekutuan.

Beliau turut menempa nama sebagai pemimpin berketurunan Cina ketiga yang diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab penting itu.

Sejak negara mencapai kemerdekaan 61 tahun lalu, tugas tersebut sebelum ini dilaksanakan oleh Tun H. S. Lee dan Tun Tan Siew Sin dari MCA sebelum digalas pemimpin-pemimpin UMNO iaitu Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada mulanya, pembenta­ngan Guan Eng diganggu oleh wakil-wakil pembangkang yang tidak berpuas hati apabila beliau mengungkit tentang hutang RM1 trilion yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.

Namun, situasi kembali terkawal apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Mohd. Yusof meminta wakil-wakil pembangkang terbabit bertenang.

Guan Eng seterusnya menyam­bung semula pembentangan Belanjawan 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ dengan lancar mulai pukul 4.05 petang sehingga pukul 6.15 petang.

Cuma, beliau tersasul sedikit apabila menyebut ‘syiar Islam’ sebagai ‘syair Islam’ ketika membentangkan peruntukan yang dicadangkan bagi prog­ram-program seperti pembinaan masjid dan surau, inisiatif ‘Khaira Ummah’ serta modul pembelajaran agama menggunakan ‘braille’.

Agak melucukan apabila beberapa Ahli Parlimen ‘me­ngaum’ apabila Guan Eng mengulangi saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berbunyi, “Malaysia umpama seekor Harimau Asia yang selama ini tidur lena, sekarang bangkit mengaum semula.”

Sebaik sahaja pembentangan Belanjawan 2019 selesai, Mohamad Ariff mengusik mereka dengan berkata, “Banyak harimau mengaum hari ini.”