Menurut MoF, delegasi melibatkan 20 peserta termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir; Timbalan beliau,  Datuk Siti Zauyah Md. Desa dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Marzunisham Omar.

Jelas MoF, lawatan itu bertujuan memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan berpotensi tinggi.

"Ia juga dapat memberi keyakinan kepada komuniti pelaburan antarabangsa untuk mengambil bahagian di dalam bon samurai bernilai 200 bilion yen yang dijamin oleh Japan Bank Investment Corporation (JBIC).

"Jerayawara ini telah diaturkan oleh Daiwa Markets Limited dengan kerjasama Affin Hwang Investment Berhad, HSBC Bank Malaysia Berhad dan Mizuho Bank (Malaysia) Berhad selaku pengatur utama bersama yang dilantik oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan penerbitan bon tersebut," jelas MoF dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut MoF lagi, dalam lawatan itu, Guan Eng turut bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso dan Penasihat kepada Perdana Mwnteri, Hiroto Izumi.

Beliau telah menyampaikan penghargaan kerajaan Malaysia di atas kesudian kerajaan Jepun melalui JBIC untuk memberikan jaminan ke atas bon Samurai Malaysia untuk mengurangkan kos pembiayaan ke atas pinjaman.

Sementara itu, Guan Eng berkata, para pelabur antarabangsa berkeyakinan dengan potensi ekonomi Malaysia serta kebolehan kerajaan untuk memacu ekonomi negara ke hadapan.

"Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik oleh para pelabur, lebih-lebih lagi dengan komitmen kerajaan untuk mentadbir berdasarkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang negarawan antarabangsa yang disegani dan tidak asing kepada rakyat Jepun.

"Mereka yakin pelaburan mereka akan digunakan untuk tujuan membangunkan ekonomi Malaysia dengan sebaiknya," katanya. - UTUSAN ONLINE