Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, Kompleks Gua Ikan sememangnya menjadi salah satu destinasi tarikan pelancong namun isu kekurangan fasiliti menyebabkan gua itu agak tenggelam.

“Gua Ikan ini perlu dinaik taraf kerana turut berpotensi menjadi destinasi pelancong luar negara. Jadi kita amat mengalu-alukan usaha pihak pelancongan dalam menghidupkan semula gua ini,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud berkata, hampir 200 sukarelawan menyertai program itu dan bergotong-royong membersihkan Gua Ikan.

“Program ini melibatkan beberapa agensi termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Dabong dan penduduk setempat.

“Melalui program ini, kita telah melaksanakan kerja-kerja membersihkan dinding gua, mengecat pondok, mencuci kawasan sekitar serta membaikpulih kemudahan awam,” katanya. - UTUSAN ONLINE