Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, laporan turut dibuat terhadap Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Mohamad Dahlan Maamor.

Kamarudin berkata, laporan berkenaan dibuat selepas Anthony sejak kebelakangan ini dilihat menggunakan jawatannya untuk meminda peraturan sedia ada tanpa mengadakan sebarang perbincangan dan kajian makmal.

“Kami gabungan GTSM hari ini membuat laporan rasmi kepada SPRM terhadap Menteri Pengangkutan (Anthony Loke dan Setiausaha Politiknya (Datuk Mohamad Dahlan Maamor).

“Antara butiran laporan ialah mengenai beberapa undang-undang sedia ada yang diubah dan diadakan tanpa sebarangan kajian dan rundingan dengan GTSM,” katanya ketika ditemui pemberita di luar ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu Kamarudin hari ini turut mengetuai kumpulan GTSM menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memohon mengadakan pertemuan dengan pemimpin itu di Perdana Putra di sini, dan surat diterima wakil pejabat Perdana Menteri.

Bercakap kepada media selepas menyerahkan surat berkenaan, Kamarudin berkata, semua peraturan yang dahulunya dibuat demi menjaga keselamatan pemandu dan penumpang jalan raya dipinda untuk kepentingan Grab.

Kamarudin berkata, antara peraturan yang dipinda Loke adalah berhubung lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang sebelum ini mewajibkan pemandu teksi untuk menjalani kursus dalam jangka masa panjang dan ujian praktikal.

“Disebabkan Grab, ujian praktikal dibatalkan, masa menjalani kursus dipendekkan dan kadar bayaran dikurangkan.

“Selain itu, sebelum ini, kod kegunaan diwajibkan kepada semua kenderaan persendirian yang terbabit secara langsung dalam bidang pengangkutan awam, yang harus ditukar kepada e-hailing tapi baru-baru ini, atas desakan pihak Grab, Anthony memberitahu ia dimansuhkan,” katanya.

Dakwa Kamarudin, perkara berkenaan memberi kesan yang sangat besar, antaranya insurans tidak boleh mengatakan kenderaan itu terbabit dalam aktiviti pengangkutan awam dan pemilik kenderaan boleh menipu kepada pembeli kereta terpakai.

Mengenai surat kepada Perdana Menteri, Kamarudin berkata, mereka mahu mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir bagi membincangkan perkara berkaitan industri teksi di negara ini. - UTUSAN ONLINE