Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, objektif utama GTN adalah untuk mengubah minda dan sikap petani bagi menjadikan golongan itu lebih maju serta berdaya saing.

Kata beliau, dengan adanya usaha gigih dan ilmu amalan pertanian yang baik, produktiviti dapat ditingkatkan, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan pe­tani setanding dengan industri lain.

“Pada masa ini, purata pengeluaran padi negara adalah empat tan metrik sehektar manakala purata pendapatan pesawah ialah sekitar RM600 sebulan sehektar.

“Keadaan ini perlu berubah, saya yakin petani di negara kita mampu mencapai kejayaan se­perti petani-petani di negara lain sekiranya berlaku perubahan min­da dan sikap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program GTN 2017 di pekarangan Dewan Serbaguna, Kampung Pahang Tua di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; ADUN Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud; Pegawai Daerah Pekan, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohd.

Tajuddin yakin petani di negara ini mampu setanding petani di negara luar seperti Korea dan Taiwan yang satu ketika dahulu berada di belakang Malaysia.

Kata beliau, difahamkan an­tara rahsia kejayaan mereka di­sebabkan sikap kerajinan dan pengamalan sains dan teknologi dalam pertanian.

“Ini merupakan cabaran, sekiranya kita sama-sama berusaha ke arah itu, saya yakin petani kita juga mampu untuk berjaya,” ujarnya.