Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, GTN bertindak sebagai titik permulaan untuk mendi­dik dan mendedahkan golongan petani dengan pelbagai kemudahan teknologi serta kaedah mempertingkatkan produktiviti.

“Apabila bercakap soal petani, ramai yang membayangkan petani itu pendapatannya rendah dan bukan satu pekerjaan yang popular terutama dalam kalangan golongan muda.

“Kita mahu ubah persepsi itu de­ngan menjadikan golongan petani terutamanya petani Melayu sebagai generasi yang terpenting dalam pembangunan negara dan berpendapatan tinggi selain mempunyai hak untuk menikmati kemakmuran yang wujud,” katanya ketika ditemu bual dalam program Sembang Online Utusan di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

GTN 2017 dengan tema ‘Tingkat Daya Saing Petani’ bakal di­rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 15 April ini di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Degong, Perak.

Dalam pada itu, Tajuddin me­negaskan, petani Melayu seha­rusnya merebut segala peluang yang boleh menjadikan mereka lebih maju sekali gus memastikan mereka tidak dipandang rendah oleh mana-mana pihak.

Beliau memberitahu, sudah tiba masanya petani Melayu membuka minda mereka untuk menerima segala perubahan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha me­ningkatkan mutu dan produktiviti dalam sektor pertanian.

“Kita tidak boleh lagi hanya berpandukan kaedah pertanian terdahulu, sudah tiba masanya kita beralih kepada cara yang le­bih moden menerusi pendedahan serta pendidikan yang dilakukan kerajaan,” ujarnya.

Beliau juga menggesa petani Melayu supaya tidak takut bersaing dan berani mengambil peluang untuk memasarkan produk mereka ke luar negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.