Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan membawa hasrat Guru Besar dan Penolong Kanan mengenai tangga gaji mereka ketika ini.

Menurut Ahmad Zahid, meskipun berdepan kemungkinan profesion lain akan turut menuntut perkara sama, namun demi profesion perguruan, beliau tetap akan membawa perkara tersebut di Kabinet.

“Kabinet akan bersidang Jumaat ini. Saya berjanji akan bawa hasrat guru-guru. Secara rasionalnya apabila minta naik gred guru, sektor lain pun akan minta perkara sama. Kita akan tengok, tapi beri keutamaan pada guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Konvensyen Perdana dan Persidangan Perwakilan Majlis Guru Besar Negeri Perak Kali Ke-30 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Menteri Besar, Datuk Seri. Dr. Zambry Abd. Kadir; Yang Dipertua Majlis Guru Besar negeri Perak, Rustam Affandy Abdul Aziz dan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mat Lazim Idris. - UTUSAN ONLINE