Datuk Seri Mahdzir Khalid

Beliau berkata pengumuman kewujudan gred 56 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini akan memberi impak positif kepada perkhidmatan pendidikan kerana ia membolehkan pegawai naik satu lagi gkat gred.

"Saya sangat berpuas hati dengan pengumuman perdana menteri berkaitan DG56 ini, ia satu langkah yang sangat baik,"katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, perdana menteri mengumumkan kerajaan akan mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan khusus bagi pegawai yang berada lebih lima tahun pada DG54. Berkuat kuasa 1 Jan tahun depan (2019), ia memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta.

Mahdzir berkata penambahan lapisan gred 56 itu membolehkan pegawai pendidikan di gred 54 peluang untuk naik setangga lagi sekiranya tidak dapat naik ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA C).

"Ketika ini gred bagi pegawai pendidikan bermula daripada DG41 sampai DG54, sebelum ke JUSA C, jadi bagi mereka yang tidak sampai ke JUSA C itu, boleh pergi ke DG56," katanya. - BERNAMA