Portal Singapore Business Review melaporkan, Great Eastern Holdings Ltd. ketika ini sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia berhubung pilihan bagaimana Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd. (Great Eastern) mampu memenuhi keperluan pemilikan asing.

Katanya, satu daripada pilihan tersebut adalah Great Eastern perlu menyalurkan dana amanah pembangunan khas, berkemungkinan besar dalam bentuk dana perlindungan kesihatan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Pada peringkat ini perbincangan berkenaan pilihan masih lagi dijalankan dan maklumat terperinci mengenainya belum lagi dimuktamadkan.

“Berdasarkan pilihan yang sedang dipertimbangkan, Great Eastern Holdings Ltd. percaya perkara itu tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatannya dan Great Eastern,” kata Great Eastern Holdings Ltd., hari ini.

Pengumuman tersebut bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan. Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 lalu, di mana beliau berkata, Great Eastern bersetuju untuk mencarum RM2 bilion kepada dana pembangunan insurans. – UTUSAN ONLINE