Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Re­dhauddin Tuanku Muhriz berkata, dunia pada waktu ini berada pada tahap permulaan revolusi perindustrian keempat yang sedang mengubah pekerjaan dan cara hidup manusia.

“Pakar dan ahli akademik berpendapat bahawa dalam revolusi keempat ini, sektor perkilangan dan pembuatan sedang menuju ke arah automasi apabila tugas hakiki manusia akan digantikan oleh automasi dan robotik.

“Kita sudah melihat penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam banyak sektor pekerjaan termasuk bidang pertanian, pendidikan, perhotelan, ketenteraan dan perubatan,” katanya dalam majlis Konvokesyen Ke-15 USIM di Nilai di sini semalam.

Seramai 442 graduan USIM me­nerima ijazah sarjana muda dalam bidang masing-masing dalam sidang terakhir konvokesyen tersebut.

Tunku Ali Redhauddin berkata, beliau bagaimanapun percaya masih ada banyak elemen seperti kreativiti, pemikiran kritis, simpati dan empati yang hanya dapat dilakukan oleh manusia dalam bidang pekerjaan.

Justeru, kata beliau, perkara seperti itu yang harus dikuasai dengan baik oleh para graduan USIM supaya pihak syarikat dan golongan majikan berlumba-lumba untuk mengambil mereka sebagai pekerja.

Sementara itu, graduan kelas pertama Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Siti Khadijah Mad Shaidi, 23, menyifatkan pesanan Tunku Ali Redhauddin kepada graduan USIM itu bertepatan dengan senario alam pekerjaan masa kini.