Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, peratusan yang berdasarkan GE (data Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)) itu lebih membanggakan apabila lima pusat pengajian telah menunjukkan peratusan GE melebihi 85 peratus.

Beliau berkata, ia melibatkan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) sebanyak 96.46 peratus, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar (88.79 peratus), PPK Bahan (90.65 peratus),PPK Mikroelektronik (82.15 peratus) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (85.29 peratus).

“Sebanyak 34.61 peratus bekerja di syarikat multinasional, 43.68 peratus bekerja di syarikat swasta tempatan, 4.08 peratus bekerja dengan jabatan kerajaan, 10.57 peratus bekerja sendiri, 2.83 bekerja dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), 2.50 peratus bekerja dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), 1.41 peratus lain-lain pekerjaan dan 0.33 peratus dengan badan berkanun,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Seminar Sri Siantan (PPK Pembuatan) Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini hari ini.

Pada Istiadat Konvokesyen Ke-12 Unimap tahun ini, sebanyak 3,180 graduan akan menerima ijazah dan diploma ma­sing-masing.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Cancelor Unimap dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor Unimap berkenaan berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Uni­map Ke-12 yang akan dilangsungkan dalam enam sidang di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap Pauh Putra di sini mulai esok hingga 30 Oktober.

Zul Azhar berkata, konvokesyen tahun ini juga telah mencatatkan jumlah graduan tertinggi yang melibatkan 75 graduan Doktor Falsafah (40 graduan tempatan dan 35 graduan antarabangsa), 130 (Sarjana Sains), 58 (Sarjana Pengurusan Perniagaan), 1, 424 (Sarjana Muda Kejuruteraan), 562 (Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan), 466 (Sarjana Muda Perniagaan), 136 (Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu) dan 329 (Diploma).

Beliau berkata, 161 pelajar Ijazah Sarjana Muda berjaya menamatkan pengajian dengan kelas pertama.

“Sebanyak 103 pelajar antarabangsa bergraduat dalam bidang kejuruteraan dan perniagaan yang melibatkan dari negara Yemen, Somalia, Syria, Sudan, Uzbekistan, Myanmar, Bosnia, Palestin, Cameroon, Chad, Eritrea, Indonesia, Iraq, Jordan, Nigeria dan Pakistan,” katanya.

Beliau berkata, pertama kali juga tahun ini apabila graduan IKOM yang merupakan kursus yang baharu diperkenalkan akan menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Ke-12.

/habis