Pro Canselornya, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, pengetahuan yang diperoleh kemudian perlu direncana untuk mencipta sesuatu dengan mengaplikasi kreativiti dan inovasi bagi membantu insan lain.

“Kita bukan mahu menjadi jaguh kampung atau negara, sebaliknya jaguh dunia sejagat. Cuba persoalkan, di atas sebuah pentas, adakah kita mahu jadi kerusi, langsir atau pemain utamanya? Adakah kita orang yang menerima sorakan atau bersorak dengan orang lain?

“Namun begitu, pengetahuan dan ketrampilan sahaja tidak cukup, sebaliknya perlu ada nilai-nilai murni dan budi pekerti. Saya melihat ada orang pandai yang mempunyai kebolehan tetapi tidak menjadi ahli masyarakat.

“Oleh itu, kita bukan ingin melahirkan orang. UiTM berhasrat untuk melahirkan manusia,” katanya ketika berucap menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-87 peringkat UiTM Cawangan Perak bagi Kampus Seri Iskandar dan Tapah di sini hari ini.

Hadir sama Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Sr Dr. Md Yusof Hamid.

Konvokesyen kali ini mencatatkan sejarah buat UiTM Cawangan Perak apabila berjaya melahirkan bilangan graduan tertinggi iaitu seramai 2,943 orang sejak majlis graduasi itu diadakan di sini bermula tahun 2010.

Pada majlis tersebut, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian), Mohd. Noor Azrin Abd. Razak diumumkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik (Sarjana Muda) sementara Nur Aini Amnah Zazali pula menerima Anugerah Graduan Terbaik (Diploma).

Mohd. Noor Azrin, 24, dari Kuching, Sarawak, yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.93, sebelum ini turut dianugerahkan Pingat Yayasan Budiman UiTM di peringkat nasional pada tahun ini. - UTUSAN ONLINE