Dalam majlis itu, empat graduan menerima anugerah graduan terbaik diketuai Nor Nabila Shafeyra Mohd. Yusof yang merangkul Anugerah Emas Pengerusi Eksekutif.

Nor Nabila Shafeyra, 23, dari Batu Rakit, Kuala Nerus merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian) dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan beliau memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.7 selain cemerlang dalam kokurikulum.

Tiga lagi pelajar terbaik ialah Nur Assyikin Abdul Rashid (Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Nur Syakinah A. Rahim (Diploma Perakaunan) dan Akmal Adzimuddin Yunus (Asas Teknologi Maklumat).

Dalam majlis konvokesyen itu juga, seorang graduan kelainan upaya dan seorang yang cedera akibat kemalangan jalan raya yang memaksa kedua-duanya menggunakan kerusi roda turut diraikan.

Mereka ialah Muhammad Aliff Norhakim Majid, 21, yang menghidap penyakit 'spina bifida' atau kerosakan saraf pada hujung tulang belakang sejak lahir telah berjaya menamatkan pengajian peringkat Asasi Teknologi Maklumat dan kini sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang yang sama.

Manakala Nurul Hasmida Mohamed Hanapi, 23, yang turut berkerusi roda setelah mengalami kecederaan parah akibat nahas jalan raya ketika bulan puasa Mei lalu, menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian).

Kesemua ijazah, diploma dan sijil atau asasi kepada graduan telah disampaikan oleh Pro Canselor UCB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Prof. Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor; Pro Canselor, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh; Naib Canselor, Prof. Dr. Sakri Ibrahim serta lain-lain anggota lembaga pengelola. - UTUSAN ONLINE