Fatimah Mohd. Yunos, 26, berkata, beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Perbankan Islam dan memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.98 itu, kini melanjutkan pengajian di Universiti Fatih Sulaiman Mehmet Vakif dalam jurusan Sarjana Sejarah Islam.

Katanya, beliau memohon memasuki universiti itu kerana ingin meneroka 'pembaharuan' dan mencari kelainan disebabkan tidak ramai rakyat Malaysia khususnya Perlis melanjutkan pengajian di negara ini.

"Sebelum ini, saya ada ditawarkan pekerjaan dengan sebuah bank tempatan tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk teruskan pengajian.

"Saya memohon kemasukan ke universiti ini menerusi dalam talian sebaik sahaja tamat pengajian pada Mei dan syukurlah, tiga bulan selepas itu telah diterima masuk (belajar)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Tautan Kasih Bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di pusat kegiatan pelajar Malaysiandi sini, baru-baru ini.

Seramai 80 orang daripada 300 orang pelajar keseluruhan yang menuntut di pusat bandar ini diraikan dalam satu majlis makan malam.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Turki sebanyak RM10,000 dan kepada empat orang pelajar berasal dari Perlis.

Ditanya tentang perancangan masa hadapannya, Fatimah memberitahu, beliau hanya ingin menumpukan pengajiannya sehingga tamat yang dijangka mengambil masa selama tiga tahun.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang mengambil jurusan berkenaan mengucapkan terima kasih kepada pihak KUIPs kerana telah menggalakkannya melanjutkan pengajian di Turki. - UTUSAN ONLINE