Perkara itu disedari oleh jurujual dan ada di antara mereka yang berpakat dengan pembeli untuk mengeluarkan kenderaan lebih daripada satu kerana proses yang dilakukan tidak melanggar sebarang syarat atau kesalahan.

Pihak bank juga mempunyai alasan tersendiri dalam memberikan pinjaman dengan pelbagai syarat telah dipenuhi pemohon sebelum sesuatu pinjaman tersebut diluluskan dan pembayaran dibuat kepada syarikat kenderaan.

Dalam bahagian akhir Laporan Khas ini, wartawan Utusan Malaysia, AMIRUL AFIQ MASTOR bertemu jurujual yang melakukan proses jual beli serta pegawai sebuah bank untuk mengetahui bagaimana proses permohonan tersebut diproses.


KUALA LUMPUR 29 Dis. -  Peningkatan penggunaan aplikasi perkongsian ken­deraan menyebabkan semakin ramai pengguna mahu mendapatkan kereta yang ba­nyak bagi tujuan sewaan kepada mereka yang mahu menjalankan perkhidmatan itu tetapi tidak mempunyai kenderaan.

Jurujual kenderaan, Andrian (bukan nama sebenar) berkata, setiap pelanggan yang mahukan kenderaan lebih daripada satu mempunyai alasan sendiri bagi membolehkan kenderaan tersebut menjana pendapatan buat mereka seperti menyewakan kepada syarikat kereta sewa mahupun untuk disewa sendiri.

Menurutnya, perkara itu sudah berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini apabila ada beberapa syarikat sewa kenderaan menawarkan bayaran lumayan kepada mereka yang mahu memajak kenderaan kepada mereka.

“Keadaan itu bertambah rancak apabila ramai sudah mula menggunakan aplikasi perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber untuk mencari lebihan pendapatan tetapi tidak ada kenderaan.

“Sebagai jurujual, kami hanya membantu pembeli dan tidak berlaku sebarang penipuan dokumen kerana dokumen yang dihantar kepada pihak bank adalah sah cuma terserah pada pembeli mahu memilih bank yang mana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini yang pernah melakukan pro­ses pembelian tersebut setiap bulan untuk pelanggannya.

Jurujual menghantar permohonan kepada bank dan biasanya, pelanggan akan memilih salah satu pinjaman terbaik dengan melihat kadar faedah rendah dan sebagainya sebelum menandatangani perjanjian sewa beli.

Namun apa berlaku dalam hal ini, pelanggan akan menunggu semua bank yang boleh meluluskan permohonan mereka dan menandatangani perjanjian bersama beberapa bank untuk membo­lehkan kenderaan dikeluarkan.

Katanya, jurujual mempunyai ramai kenalan di bank dan menge­tahui sama ada bank tersebut dapat melaksanakan apa yang dirancang bagi memastikan permohonan pelanggan berjaya.

Menurutnya, ada di antara bank yang tegas akan menyemak status pelanggannya di sistem maklumat kewangan (FIS) bagi melihat status hutang pemohon apabila hendak memproses sesuatu permohonan.

Namun menurutnya, ada di antara bank yang tidak kisah untuk menyemak status FIS, cukup hanya melihat dokumen pemohon apabila lengkap permohonan akan diluluskan mengikut syarat yang ditetapkan.