Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, ini kerana entiti lama, BN dilihat telah terpalit dengan pelbagai skandal dan masalah kepimpinan yang meruncing hingga menyebabkan mereka tewas pada pilihan raya umum lalu.

JENIRI AMIR
JENIRI AMIR

“Yang mana lebih penting, bersama BN atau keluar selamatkan diri? Pilihan kedua adalah lebih baik, tidak guna bersama BN tetapi terjerumus kepada kehancuran.

“Demi kepentingan pembangunan di Sarawak, GPS perlu mesra dengan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menjadi seteru kerana mereka perlu berunding bagi hak-hak autonomi negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pendekatan terbaik adalah tidak bermusuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengumumkan keluar daripada BN selepas membuat perbincangan, maklum balas dan pertimbangan keadaan semasa politik di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak.

Empat parti komponen BN Sarawak terlibat adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Dalam pada itu, ditanya kemungkinan GPS bergabung dengan PH di negeri tersebut, Jeneri berkata langkah itu bakal mendapat tentangan DAP dan PKR.

“Saya tidak fikir DAP dan PKR akan bersetuju dengan langkah itu. Mereka pernah tentang percubaan parti-parti komponen BN untuk sertai PH ini dan tindakan itu tidak akan diterima. Kalau itu berlaku, mereka sedar implikasinya,” tegasnya.

Sementara itu, peng­analisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, tindakan empat parti komponen meninggalkan BN Sarawak itu adalah sesuatu yang telah dijangka selepas PRU-14.

ISMAIL SUALMAN
ISMAIL SUALMAN

“Sarawak memerlukan kerajaan pusat, seandainya mereka tidak selari dengan kepimpinan negara pasti akan ada masalah yang timbul khususnya dalam hal-hal pembangunan di negeri berkenaan. Mungkin itu pilihan yang ada bagi mereka membantu dan mengutamakan rakyat.

“Mereka tidak kisah siapa memimpin kerajaan pusat, yang pentingnya adalah selaras dengan kerajaan negeri sebab banyak pembangunan di Sabah dan Sarawak akan menjadi tempang jika mereka tidak menyokong kepimpinan negara di bawah PH,” katanya.

Ismail berkata, perkara seperti ini berlaku di banyak negara kerana keutamaan diletakkan kepada rakyat.

“Parti boleh berubah-ubah. Seandainya Sarawak tidak membuat perubahan mereka tidak boleh pergi jauh dan banyak pembangunan akan terbantut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE