Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata, kesemua 26 pelajar adalah tahun akhir dan masing-masing menerima bantuan antara AS$3,000 hingga AS$14,000 (RM12,477- RM58,223) bagi menyelesaikan sebahagian daripada tunggakan yuran mereka.

"Bantuan kewangan ini diserahkan dalam bentuk draf bank yang akan dibayar terus kepada universiti masing-masing dalam tempoh 14 hari selepas pihaknya menerima dokumen lengkap yang diperlukan.

"Melalui dana tabung berjumlah RM2 juta, kita telah membantu 65 pelajar yang mengalami masalah tunggakan yuran," katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Pendidikan Pelajar Malaysia 2018, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambri berkata, bantuan kewangan yang diberikan adalah berbentuk pinjaman mudah dan peminjam hanya perlu membayar semula jumlah yang dipinjam tanpa dikenakan sebarang caj keuntungan.

"Tempoh pembayaran pula bermula setahun selepas pelajar tamatkan pengajian dan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu pelajar lain yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan kewangan," katanya. - UTUSAN ONLINE