Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, tindakan itu merangkumi gaya pemikiran yang ke hadapan dan terbuka oleh golongan veteran dalam menerima pendapat orang muda dan memahami keperluan generasi itu.

Katanya, pelaksanaan itu pen­ting agar parti kekal relevan untuk semua peringkat umur dan demi kelansungannya.

“Peremajaan UMNO tidak sekadar keterbukaan parti menerima ahli dalam kalangan generasi baharu, malah mahu kepimpinan sedia ada berfikir dan menjalani kehidupan seperti orang muda khususnya dari sudut teknologi dan perkembangan semasa.

“Pelaksanaan ini pen­ting agar perjuangan UMNO dapat diteruskan kembali dan kekal relevan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata kepada Utusan Online selepas menjadi panel Siri Wacana Pasca PRU-14 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Antara panel lain termasuklah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Abdullah; Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik UKM, Datuk Dr. Denison Jayasooria dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi UKM, Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali.

Sementara itu, Shahril memberitahu, UMNO perlu mengangkat agenda orang Melayu dalam memperkasakan mereka selain terus mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita memang akan mempertahankan Perkara 153 sampai bila-bila tetapi untuk menang kita buat lebih daripada itu, tidak cukup.

“Kita perlu mengisi perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air itu dengan dasar-dasar yang spesifik yang kontemporari,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE