Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pada masa sama, golongan terbabit harus membudayakan sikap suka meneroka ilmu baharu kerana cara corak pembelajaran masa kini adalah berbeza berbanding zaman dulu.

Katanya, perubahan sikap itu penting kerana mereka memainkan peranan dominan dalam membina negara bangsa dengan menguasai disiplin ilmu yang diajar, selain menyampaikan ilmu secara inovatif selari dengan perkembangan teknologi.

"Warga pendidik sepatutnya mempunyai kesediaan untuk berubah, memandangkan teknologi pengajaran terkini di sekolah merupakan perubahan yang mesti dihadapi dan ditangani oleh anda.

"Gunakanlah pendekatan dan teknik pengajaran yang pelbagai selari dengan perkembangan teknologi, di samping menerapkan budaya meneroka cara menuntut ilmu yang pastinya amat berbeza daripada zaman dulu," katanya berucap merasmikan Program Pemukiman Guru Pembina Negara Bangsa (GPNB) di Pusat Latihan Sarawak (PLS) Jabatan Kemajuan Islam, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Sulaiman Wak; Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mansor Man.

Program bertujuan untuk memangkin kecemerlangan guru yang bermotivasi, berpotensi tinggi, bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan negara serta mendekatkan para pemimpin bersama warga pendidik itu diadakan mulai hari ini sehingga Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari, bagi menghadapi cabaran membina anak Sarawak berminda kreatif, kerajaan negeri mengambil inisiatif menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk membangunkan kemudahan infrastruktur siber digital agar kelajuan internet terutama di luar bandar dapat ditingkatkan, seterusnya memudahkan sistem pengajaran dan pembelajaran. - UTUSAN ONLINE