Sebanyak RM48 juta diperuntukkan untuk projek perintis kepada projek penempatan semula nelayan (PSN) itu yang memberi manfaat kepada 300 keluarga.

Berucap pada majlis itu, Perdana Menteri berkata,  projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha transformasi kerajaan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.

“Saya ikrar nak mai semula ke sini kerana pada 31 Oktober 2012 apabila ke sini buat kali pertama  saya lihat bahawa keadaan nelayan di sini perlu kita lakukan sesuatu yang boleh ubah keadaan hidup mereka dengan cara berkesan bukan setakat nak hulur apa-apa  tetapi nak buat sesuatu yang boleh jamin hidup nelayan.

“Maka terlintaslah dan Tuhan  gerakan  hati saya cetuskan idea untuk penempatan semula nelayan  lantas dalam ucapan belanjawan selepas itu saya  umum dana RM200 juta untuk laksanakan projek ini.

“Tujuan supaya bila sebut transformasi kita tak mau  para nelayan menjadi orang yang terkecuali  atau orang yang terpinggir atau orang tak rasai proses transformasi,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Bantuan Touch Point bernilai RM38,000 kepada 38 penerima dan sumbangan RM2.64 juta kepada 88 nelayan Persatuan Nelayan Kawasan di seluruh negara untuk pemantapan organisasi itu.

Selain itu Perdana Menteri berkesempatan menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM459,250 kepada nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Tanjung Dawai, Yan dan Kuala Muda.

Pada program sama, Perdana Menteri turut meluluskan projek
naik taraf Loji Rawatan Air Bukit Selambau daripada berkapasiti 30 MLD kepada 70 MLD dengan kos RM147 juta bermula bulan depan selain membina menara tangki air dan penggantian paip di kawasan Merbok dan Tanjung Dawai bernilai RM19 juta. - UTUSAN ONLINE