Baginda bertitah, sebaliknya berharap golongan remaja menjadikan isu-isu global sebagai kekuatan dalam mewujud dan mengukuhkan lagi keharmonian negara.

“Rakyat perlu sedar kerana hakikat peperangan itu sebenarnya ditunjangi oleh pertubuhan, organisasi atau negara-negara yang menyokong keganasan.

“Isu ini sering dipaparkan saban hari di dada-dada akhbar. Maka, janganlah dibiarkan anasir pengganas atau subversif ini terus ‘bersarang’ dan ‘membiak’ sebagai ‘api dalam sekam’ di negara tercinta ini.

“Bak kata bidalan, ‘Berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat’. Maka sebagai rakyat yang patuh, maka, fahamilah asal usul, latar belakang dan maksud serta matlamat sebenar kumpulan pengganas ini ditubuhkan,” titah baginda.

Demikian titah baginda yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Agama Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah (SMA Al-Maad) 2018’, di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh pengetua sekolah itu, Abdullah Shafie serta ketua penyelaras program, Kapten Azuan Mohd. Nasir dan Hakim Khan.

Turut hadir Setiausaha YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus beserta seramai 327 orang pelajar tingkatan satu, dua dan tiga sekolah itu.

Program anjuran YTSP Perlis yang memasuki kali ketujuh bagi tahun ini, dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP Perlis seterusnya bertitah, sebagai warga negara, semua rakyat perlu bersyukur kerana Malaysia aman daripada peperangan.

Bersempena kunjungan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan pavilion sukan sekolah tersebut yang diberi nama Al-Faizin. - UTUSAN ONLINE